Sunday 16 February 2014

Adakah Taib kebal daripada dakwaan jika dilantik sebagai gabenor?

Pakar undang-undang Malaysia mempunyai dua pandangan terhadap kemungkinan Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak terdedah kepada dakwaan sivil dan jenayah tetapi ditegaskan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa dalam jawatan istiadat.

Perbahasan terbuka apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan persaraannya dan kemungkinan besar akan menjadi gabenor negeri, walaupun sedang hangat dengan dakwaan rasuah terhadap dirinya dan keluarga.


Beberapa peguam berkata, ketua negeri adalah ahli kepada Majlis Raja-Raja dan oleh itu, akan menikmati kekebalan tetapi  ada pendapat mengatakan takrif "pemerintah" digunakan hanya kepada sembilan keturunan raja-raja Melayu.

Seorang hakim bersara berkata, Taib akan menikmati kekebalan daripada sebarang pendakwaan jika beliau menjadi TYT Sarawak, kerana dia akan menjadi ahli Majlis Raja-Raja.

"Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan berkenaan imuniti bagi ketua negari Sabah, Sarawak , Melaka dan Pulau Pinang tetapi secara tersirat ia juga bermaksud mereka juga menikmati kekebalan seperti raja-raja Melayu," kata hakim itu yang bercakap kepada The Malaysian Insider dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Hakim ini pernah bertugas di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan sama ada ketua menteri yang paling lama berkhidmat itu akan menikmati kekebalan daripada sebarang pendakwaan apabila bersara.

Perlembagaan Sarawak menyatakan bahawa sesiapa yang dilantik sebagai TYT adalah juga ahli Majlis Raja-Raja, katanya.

"Kedudukan ketua negeri Sarawak tidak boleh lebih rendah daripada seorang raja Melayu yang juga ahli majlis itu."

Perlembagaan berkata, prosiding boleh dibawa terhadap pemerintah negeri dan Yang di-Pertuan Agong dalam kapasiti peribadi mereka selepas Mahkamah Khas mendapat kebenaran daripada Peguam Negara.

Hakim itu berkata, Perlembagaan negeri menyatakan ketua negeri tidak boleh memegang jawatan untuk keuntungan dan melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perniagaan komersial.

"Bagi menghalangnya daripada menjadi ketua negeri, pengkritik perlu membuktikan beliau terlibat secara peribadi dalam perniagaan yang membawa keuntungan," katanya.

Hakim berkenaan bagaimanapun berkata, hakikatnya sukar untuk mendakwa Taib tanpa keizinan Putrajaya.

Peguam Perlembagaan Syahredzan Johan (gambar) berkata, definisi "pemerintah" dikecualikan daripada ketua-ketua negeri dari Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka.

"Oleh itu, mereka tidak menikmati imuniti seperti sembilan raja-raja Melayu," katanya.

Syahredzan berkata, Taib dengan mudah boleh berhadapan dengan saman sivil dan pihak yang terkilan tidak perlu mendapat kebenaran daripada Peguam Negara .

Bagaimanapun, Peguam Negara perlu memulakan pendakwaan jika mempunyai bukti yang cukup bagi salah laku jenayah.

"Walau demikian, saya bersetuju realitinya adalah sukar untuk mendakwa individu yang berkuasa apabila kuasa terletak di tangan Peguam Negara.

"Ia adalah suatu tugas yang sukar untuk mendakwa ketua kerajaan apatah terhadap seorang ketua negeri."

Peguam kanan, Baru Bian berkata, tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan negeri yang memperuntukkan imuniti kepada ketua negeri.

"Jika beliau melakukan kesalahan jenayah untuk kepentingan peribadi semasa berkhidmat sebagai ketua menteri atau wakil yang dipilih, beliau boleh didakwa walaupun selepas menjadi ketua negeri," kata Baru, yang juga Ketua PKR Sarawak.

Pada Selasa, Taib mengumumkan beliau akan meletak jawatan sebagai ketua menteri yang berkuat kuasa pada 28 Februari dan akan digantikan oleh Menteri Tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri dan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Adenan Satem.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Taib yang menjadi ketua menteri sejak 1981, akan menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sebagai TYT .

Tempoh Abang Muhammad akan berakhir pada 28 Februari kecuali ia dilanjutkan. 


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP