Wednesday 19 February 2014

Exco Agama Kedah Kesal Khairy Dipersenda Dalam Masjid



ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah kesal sebuah masjid di Sungai Petani dicemari unsur politik apabila seorang penceramah bebas secara sengaja menghina pemimpin negara dengan menggunakan kata-kata biadab.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, beliau yang ketika itu berada di tempat kejadian, terkejut apabila mendengar kata-kata penceramah terbabit yang sedang menyampaikan kuliah agama dalam masjid.

“Saya sangat terkejut, penceramah itu menyebut Menteri Belia dan 'Setan', kemudian ops silap, Menteri Belia dan Sukan. Daripada gaya bercakap, tidak wujud rasa kesal gara-gara dikatakan tersasul, seolah-olah memang disengajakan,” katanya.

Berikutan itu, beliau membuat satu laporan polis pada Isnin (17 Februari), di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, mohon siasatan dijalankan kerana tindakan penceramah itu mencemarkan nama baik Islam dan institusi masjid.

“Pada Ahad, saya dan rakan singgah di Masjid Tunku Puan Habsah, Padang Temusu di Sungai Petani sekitar 8.40 malam untuk tunaikan solat. Setelah itu, saya turut mendengar kuliah agama disampaikan penceramah itu dan terkejut mendengar kata-katanya, yang tidak sesuai disebut dalam masjid,” katanya.

Mohd Rawi berkata, tindakan penceramah itu adalah sangat tidak wajar kerana mengheret tempat ibadah dengan unsur politik.

“Saya berasa tidak puas hati dengan perkataan digunakan itu kerana terlalu biadab, terutama orang yang difitnah, iaitu Khairy Jamaluddin beragama Islam. Gelaran itu boleh menjatuhkan maruah beliau dan mendatangkan aib,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mahu siasatan dibuat kerana tidak mahu perkara itu berleluasa dan menular ke masjid-masjid lain di Kedah.

“Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) sudah dimaklumkan perkara ini, dan akan menyiasat penceramah dan masjid berkenaan, demi memelihara maruah Islam dan kesucian masjid,” katanya.

Mohd Rawi berkata, pada mesyuarat pelan perancangan Majlis Agama Islam Kedah 2014-2018, perkara itu turut dibangkitkan agar semua pihak sentiasa memantau masjid di negeri ini agar tidak
dicemari unsur politik.

“Jika ada aduan, pengadu diminta buat laporan polis dan serahkan kepada Jaik bagi tindakan susulan. Kita akan siasat senarai penceramah dan masjid dari semasa ke semasa agar perkara ini tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, bentuk tindakan dan hukuman bersesuaian akan dibincangkan kerana ia perkara serius, melibatkan sensitiviti agama Islam.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP