Thursday 20 February 2014

Harussani Kesal Mahathir Boleh Terpengaruh Dengan Kassim Ahmad

Mufti: Jangan termakan ucapan Kassim

IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria meminta umat Islam tidak terpengaruh dengan ucapan pemikir, Dr Kassim Ahmad yang disifatkan bercanggah dengan asas ajaran Islam.

Sambil mengecam tindakan Yayasan Kepimpin Perdana (Perdana Leadership Foudation) yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberi ruang kepada kepada pemikir seperti Kassim, Harussani berkata, kandungan ucapan Kassim dalam satu seminar di Putrajaya itu, sangat berbahaya kepada akidah umat Islam kerana ia menyangkal beberapa perkara pokok dan asas dalam agama Islam.


“Saya meminta umat Islam jangan terpengaruh dengan ucapan beliau kerana terang-terangan ia bercanggah dengan asas ajaran Islam. Bahkan orang yang percaya dengan ucapan itu boleh menjadi kafir.

“Kita juga amat dukacita seorang pemimpin yang dulunya disanjung tetapi terpengaruh dengan ajaran seperti ini dan saya mahu Kassim serta mereka yang bersetuju dengan pandangan beliau supaya bertaubat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Menurut Harussani, fahaman yang dibawa Kassim itu sudah pun difatwakan oleh kebanyakan negeri sebagai menyeleweng tetapi perkembangan terbaharu ini memberikan ruang untuk cuba menyuburkan kembali pemikiran songsang itu.

Kassim yang terkenal dengan kenyataan kontroversinya itu Ahad lalu, berucap dalam satu seminar dengan mengaitkan ulama dengan kasta paderi selain membuat kenyataan berhubung pemakaian tudung bagi wanita Islam.

Pandangan Kassim itu juga turut dibidas beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin politik.

Menurut Harussani, tindakan Kassim itu menyerlahkan kejahilannya apabila meletakkan ulama sebaris dengan kasta paderi, termasuk mengistinbat ayat-ayat berhubung dengan hukum berkaitan aurat.

“Asasnya beliau bukan orang yang berkeahlian dalam membicarakan ayat-ayat hukum di dalam al-Quran kerana sangat kurang ilmu asas bahasa Arab dan ilmu-ilmu usul fiqh yang merupakan mekanisme penting dalam mengistinbat hukum, sebaliknya hanya menggunakan ilmu logik dan ilmu bahasa yang sangat mudah sifatnya.

“Saya berharap pihak berwajib menguatkuasakan undang-undang selaras dengan fatwa yang dikeluarkan dan bertepatan dengan Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang,” jelasnya.

Jelasnya lagi, kerajaan wajib mengambil tindakan undang-undang ke atas Kassim kerana fatwa terhadap individu itu sudah pun diwartakan kebanyakan negeri termasuk Perak.

Kassim pernah mengeluarkan dua buku bertajuk Hadis Satu Penilaian Semula dan Hadis Jawatan Kepada Pengkritik. Kedua-dua buku itu sudah diharamkan.

Pada 15 Februari 1996, Jabatan Mufti Perak sudah mewartakan fatwa mana-mana individu atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran dan fahaman di dalam buku berkenaan dianggap murtad.

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP