Monday 22 August 2016

MO1: Najib Perlu Dedah Identiti



SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Tun Razak digesa mendedahkan identiti sebenar Malaysian Official 1 (MO1) yang dikaitkan dalam siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia bagi mengelakkan kekeliruan berterusan berkaitan isu tersebut.

Tuan Ibrahim berkata, Najib selaku Presiden Umno dan pemimpin BN perlu mengambil tanggungjawab menjelaskan isu itu sebelum keadaan bertambah rumit.

“Nampaknya (timbul kekeliruan) di kalangan Umno dan BN yang keliru dengan identiti MO1 sehinggakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad mencetuskan kontroversi mengenai identiti MO1 kerana mengaitkannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Untuk mengelakkan kekeliruan berpanjangan dan tercetusnya mangsa kedua yang dikaitkan dengan MO1, Najib perlu memberitahu siapa MO1 yang sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nawawi sebelum ini memuat naik status di laman Facebooknya menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun beliau telah memohon keampunan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

DOJ menyebut MO1 dalam laporan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Kata Tuan Ibrahim lagi, Najib juga boleh memberi bayangan identiti MO1 sekiranya beliau tidak mahu mendedahkan nama pegawai tersebut.

“Dengan ini, sudah pasti tiada lagi ahli parlimen seperti Nawawi yang terteka sehingga mengaitkan identiti MO1 itu kepada Agong.

“Saya pasti kalau Nawawi diberi maklumat yang betul, beliau tidak akan tersilap teka siapa sebenar MO1, dan Umno-BN tidak akan dimalukan lagi dengan tekaan yang jelas jauh tersasar,” ujarnya. - sharian


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP