Friday 21 October 2016

Mahkamah Kekal Beku Akaun Bapa Saudara Pemakan Harta Anak Yatim



KUALA LUMPUR - Dua bapa saudara kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa mereka dalam satu kemalangan maut di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) tahun lepas gagal untuk mengetepikan perintah membekukan akaun mereka yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Ini susulan Mahkamah Tinggi Syariah mengekalkan perintah membekukan tiga akaun bank itu dan menolak permohonan Hamlizar Husain dan Muhammad Faizznur Asyraf Husain yang mencabar perintah berkenaan.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz membuat keputusan memerintahkan akaun itu dibekukan sehingga kes membabitkan hak penjagaan dan nafkah kanak-kanak tersebut iaitu Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqila, 4, selesai.

Mahkamah itu turut memerintahkan pihak pengurusan Maybank memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membekalkan sebarang dokumen berkenaan transaksi sumbangan orang awam dalam ketiga-tiga akaun tersebut.

Selain itu mahkamah memerintahkan ibu saudara kanak-kanak itu Yusnidah Husain, 46, melantik akauntan bertauliah bagi mengaudit urusan transaksi ketiga-tiga akaun berkenaan.

Ianya bagi mendapatkan jumlah sebenar sumbangan orang awam yang dikreditkan dan jumlah sebenar yang telah dikeluarkan atau sebarang penemuan lain.

"Laporan berkenaan hendaklah difailkan di mahkamah sekurang-kurangnya dua hari sebelum prosiding perbicaraan kes induk nafkah didengar," katanya.

Sementara itu, Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf dilarang menjalankan sebarang transaksi terhadap akaun Maybank tersebut sehingga siasatan polis dan perbicaraan kes berkenaan selesai.

Pada 19 Mei 2016, Yusnidah berjaya mendapatkan perintah membekukan tiga akaun milik dua adiknya itu  namun Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf telah memfailkan permohonan itu secara ex parte bagi mencabar perintah berkenaan pada 19 Julai lepas.

Dalam pada itu isu salah guna wang sumbangan oleh dua bapa saudara kanak-kanak berkenaan heboh diperkatakan di media-media tempatan, dan media sosial baru-baru ini sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak.

Bagaimanapun peguam Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar yang ditemui sejurus prosiding di mahkamah semalam, Hamlizar dan Muhammad Faizznur Asyraf akan memfailkan tindakan saman sivil berhubung dakwaan salah guna wang  sumbangan tersebut.

Dua kanak-kanak itu kehilangan ibu dan bapa mereka Fairuz Nizam Hussain, 35, dan Nova Safitri Azhari, 27, serta adik bongsu mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan dalam kemalangan 2 Mei lalu.

- sharian

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP