Sunday 5 March 2017

Pembantu Rosmah Sindir Shafie Dan Mukhriz

Tolak jawatan CM Sabah: Rizal sindir Shafie


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor secara sinis mempersoalkan dakwaan Datuk Seri Shafie Apdal yang mengatakan beliau pernah menolak tawaran jadi ketua menteri Sabah.

Malah, pembantu kepada isteri perdana menteri itu turut mempersoalkan tawaran yang ditolak oleh bekas naib presiden Umno itu sebelum ini.

"Di kalangan pemimpin dan anggota Umno serta komponen BN di Sabah, ia bukan satu rahsia lagi tentang hubungan dingin antara Shafie Apdal dan ketua menteri Sabah. (Ia) kerana nafsu Shafie yang mahu menjadi ketua menteri Sabah.

"Sungguh kelakar dan lucu bila Shafie kata beliau pernah menolak tawaran menjadi ketua menteri. Tawaran menjadi ketua menteri oleh siapa yang beliau tolak? Tawaran Jamalul Kiram kot," tulis Rizal di Facebooknya.

Selain itu, beliau turut mempertikaikan penubuhan Parti Warisan Sabah sekiranya bekas menteri kabinet itu tidak berminat menjadi ketua menteri Sabah.

"Jika beliau tidak berminat untuk menjadi ketua menteri, kenapa beliau tubuhkan Parti Warisan Sabah yang perjuangannya hanya tertumpu di Sabah saja?

"Kenapa tidak bersama-sama (bekas perdana menteri) Tun Mahathir (Mohamad) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) PPBM berjuang ke seluruh negara?," soal Rizal lagi.

Justeru, Rizal menyamakan tindakan Shafie tersebut sama seperti bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sebelum ini mendakwa tidak mahu menjadi perdana menteri tetapi bertanding kerusi naib presiden Umno.

"Tidak mahu menjadi perdana menteri tetapi bertanding naib presiden Umno iaitu satu jawatan untuk membuka jalan bagi seseorang menjadi perdana menteri.

"Lepas itu, kalah, tak boleh terima. Tolong jangan gelak," tulis Rizal.

Semalam, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang cita-cita untuk menjadi ketua menteri Sabah dan pernah menolak tawaran berkenaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Shafie berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Najib yang berkata, seorang bekas menteri persekutuan, yang kini mengetuai sebuah parti pembangkang, telahmeminta jawatan ketua menteri Sabah.

Najib menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri itu.





PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP