Monday 1 May 2017

HARAPAN Lebih teruk Dari BN Kerana Bertunjangkan DAP - Zuhdi


Pakatan Harapan (HARAPAN) lebih teruk daripada BN kerana bertunjangkan DAP, kata Pengarah  Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Bercakap dalam konteks cita-cita PAS untuk menawan semula Kedah, Zuhdi berkata HARAPAN tidak layak untuk mentadbir negara ini.

"Pakatan Harapan lebih teruk dari BN. Kalau BN tunjang dia adalah Umno, Pakatan Harapan tunjang dia DAP. Tak ada beza," kata Zuhdi di ceramah yang diadakan sempena Muktamar PAS di Alor Setar malam tadi.

Zuhdi kemudian menyenaraikan semua aspek-aspek negatif komponen HARAPAN.

Beliau menyifatkan DAP mengamalkan rasuah, mendakwa mereka merampas Pulau Pinang "seperti Umno" selepas penggal kedua pada tahun 2013.

Beliau memberi contoh dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, serta penglibatan seorang ahli perniagaan dalam projek penambakan tanah kontroversi di negeri ini.

Dalam pada itu Zuhdi turut mendakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang menentang Islam.

Beliau mendakwa Mahathir telah melindungi Kassim Ahmad, seorang tokoh yang didakwa anti-hadith yang telah menyekat Kelantan daripada melaksanakan enakmen jenayah syariah pada tahun 1993.

Beliau juga mengaitkan Mahathir dengan kejadian Memali yang menyaksikan 14 orang terbunuh pada 1985.

"1985, kejadian Memali, siapa PM masa tu?," soalnya sambil disambut teriakan penyokong yang menjawab "Mahathir".

"Ni semua lupa ni. Jumpa Mahathir hero, hero, hero," kata Zuhdi.

Beliau juga menyebut dakwaan bahawa Mahathir telah menghina Nabi Muhammad pada tahun 1997 dengan mengatakan baginda tidak memotong janggut kerana tidak mempunyai pisau cukur pada zaman itu.

Mengulas mengenai PKR, Zuhdi berkata parti itu berpecah antara kumpulan diketuai presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali.

Mereka juga katanya saling 'londeh melondehkan' dakwaan salah laku antara satu sama lain.

Bagi kumpulan serpihan PAS iaitu AMANAH, Zuhdi berkata "tidak ada keperluan untuk menyebut mereka".

Bagaimanapun terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pencetus masalah dalam PAS yang mengetuai kerajaan Kedah pada 2008-2013 tidak lagi bersama parti itu.

Justeru katanya PAS tidak lagi menghadapi sebarang masalah untuk mentadbir negara.









PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP