Sunday 9 July 2017

Mukhriz minta peguam ambil tindakan pada Najib


Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia ekoran dakwaan Najib yang mendakwa bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha untuk menyingkirnya daripada jawatan berkenaan kerana ingin menjadikan Mukhriz sebagai perdana menteri.

Berhubung dakwaan berkenaan, Mukhriz yang juga timbalan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut melahirkan rasa 'meluat' dengan dakwaan yang dibuat Najib itu.

Ini kerana, Mukhriz sebelum ini telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Akhbar Perdana Menteri - Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad kerana didakwa memfitnahnya menerusi beberapa kenyataan media berhubung perkara sama.

"Ia sangat mengecewakan dan benar-benar meluat apabila secara faktanya, seorang yang memegang jawatan yang tertinggi di Malaysia boleh merendahkan martabatnya dengan membuat tindakan yang terdesak.

"Pada pendapat saya, ia adalah contoh yang paling jelas mengenai campur tangan dan penggunaan kuasa untuk memberi tekanan yang menyalahi undang-undang kepada mahkamah berhubung tindakan mahkamah yang saya lakukan.

"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil semua langkah undang-undang yang diperlukan untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan Najib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saman fitnah Mukhriz terhadap Tengku Sariffuddin akan didengar pada 13 Julai depan.

Tengku Sariffuddin pada 15, 20, 23 dan 26 April 2016 mendakwa Mukhriz berkonspirasi dengan bapanya dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Bagaimanapun, Tengku Sharifuddin dalam kenyataan pembelaannya menafikan bahawa keempat-empat kenyataan itu telah meremehkan Mukhriz dan menegaskan bahawa kenyataan itu adalah untuk menjelaskan dan menangkis tuduhan palsu terhadap Najib.

Katanya, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membela Perdana Menteri dan menangkis tuduhan palsu supaya rakyat mendapat gambaran dan fakta yang tepat. - malaysiakini



PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP