Wednesday 1 November 2017

4 Anggota RELA Disogok Datuk Seri Buat Laporan SPRM


ANGGOTA RELA yang diserang lelaki bergelar Datuk Seri membuat laporan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA: Empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dipukul individu bergelar Datuk Seri membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung cubaan merasuah bagi menutup kes berkenaan.

RELA dalam kenyataan hari ini berkata laporan itu dibuat di Pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Anggota itu, Melvin Cheong Mun Khai, 19; Leong Jiun Jie, 21; Lee Weng Poh, 27; dan Ho Hoong Keong, 55, memberi keterangan kepada SPRM mengenai suapan yang ditawarkan kepada mereka bagi menutup dan menarik balik laporan polis terhadap Datuk Seri itu.

"Mereka memberi keterangan secara bergilir-gilir bermula jam 12.45 tengah hari hingga 3.30 petang dan mendapat kerjasama baik daripada pihak SPRM," kata kenyataan itu.

Dalam kejadian di Kampung Baru Ampang, Selangor pada jam 6.30 pagi Jumaat lalu, anggota RELA itu mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang Datuk Seri berusia 29 tahun itu.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta individu terbabit mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkannya di tepi jalan besar yang menghalang lalu lintas.

Datuk Seri itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan dia direman selama empat hari bermula hari ini.

Dia ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas. -- BERNAMA

PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP