Sunday 5 November 2017

Yusuf Azmi Digelar Bab* Kerana Peruntukan RM500,000


Gara-gara peruntukan RM500,000 yang diumumkan timbalan perdana menteri semalam, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi berkata beliau digelar dengan bahasa kesat oleh netizen di media sosial.

Menjelaskan mengenai perkara itu hari ini, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM itu berkata persatuan pengguna tersebut mempunyai banyak biro dan wang berkenaan diperuntukkan sebenarnya untuk membantu golongan pengguna.

"Jadi yang dapat itu adalah pusat (PPIM). Kita tak tahu menahu dan selama ini pun kami bergerak atas inisiatif kami sendiri, sukarelawan kami, kami (hanya) jadi aktivis," katanya sambil menambah beliau sendiri tidak ada pada majlis pengumuman itu semalam.

Menyambut baik peruntukan berkenaan, Yusuf berkata beliau menghormati pemimpin negara tetapi menegaskan dirinya mempunyai peranan untuk menyuarakan masalah rakyat.

"Saya menyuarakan masalah rakyat. Saya menyuarakan masalah golongan marhaen seperti saya. Jadi bila saya kata, bila saya kritik, bila saya tegur tu adalah benda yang benar dan jelas dan tolong ambil (tindakan).

"Kadang-kadang kita lihat, ada cyber trooper yang tiba-tiba menghentam kami, organisasi yang kecil yang membawa brand 1Malaysia ini, mengatakan kami nak buat duit.

"Selama tujuh tahun saya kendalikan unit tindakan khas (PPIM), kat mana yang mengatakan kami buat duit. Kami memperjuangkan isu pengguna," katanya.

Yusuf berkata, disebabkan peruntukan itu semalam, beliau digelar dengan perkataan kesat termasuk dipanggil bab* oleh netizen.

"Saya ni kasihan saya tuan-tuan. Dalam Facebook sekarang ni semua cakap saya bab*," katanya.

'Tak akan ambil RM1 pun'

Berikrar tidak akan menyentuh wang berkenaan Yusuf berkata peruntukan itu bukan untuk dirinya sebaliknya membantu golongan pengguna yang teraniaya.

“Saya Insya Allah, saya janji saya saya tak ambil RM1 pun, Insya Allah, bukan sebab saya tak ambil sebab duit itu haram, tidak, tapi bukan bahagian saya dan bukan saya yang patut terima.

“Mungkin yang patut terima adalah tuan-tuan,” kata Yusuf dalam video dimuat naik olehnya di Facebook.

Nama Yusuf mula mencuri perhatian selepas tindakannya dan aktivis PPIM lain menyerbu premis sebuah syarikat pajakan kenderaan beberapa bulan lalu.

Tindakan itu dikatakan diambil untuk membantu sejumlah individu mendapatkan semula kereta mereka daripada syarikat terbabit.

Dalam rakaman yang tular di media sosial, Yusuf dan rakan-rakannya dilihat berdepan pekerja syarikat itu dan bertindak memecahkan mangga kunci pagar stor syarikat serta merobohkan pagar premis berkenaan.

Susulan itu, Yusuf dan seorang lagi aktivis PPIM, Ali Salimin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang 24 Oktober lalu atas tuduhan menceroboh.

Semalam Zahid ketika berucap merasmikan penutup Forum Pengguna Ke-7 di Menara Felda, Kuala Lumpur mengumumkan peruntukan one-off sebanyak RM500,000 kepada PPIM.

Menganggap peruntukan itu sebagai fardu kifayah, Zahid berkata wang itu akan digunakan bagi membantu PPIM menyelesaikan masalah pengguna yang berdepan dengan syarikat pinjaman tidak berlesen (Ah Long) dan membanteras perjudian haram.


Read more at https://m.malaysiakini.com/news/400858#mJypKrMpYRxhv1uE.99


PERINGATAN: Bloglist Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

0 comments:

Popular Posts

Blog Pro BN

POST TERDAHULU

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP